MAKLUMAT TERKINI
Penyelidik FRIM terima anugerah antarabangsa Jepun
7 November 2018 (Rabu) – Penyelidik Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), Dr Farah Fazwa Md Ariff telah menerima pengiktirafan ‘Japanese International Award for Young Agricultural Researchers’ 2018 di United Nations University Tokyo, Jepun semalam.
Farah Fazwa yang mengetuai Cawangan Pembaik Baik Herba dan Pokok FRIM, dipilih atas penyelidikan inovatif dan berfaedah dalam penghasilan bahan tanaman berkualiti tinggi bagi spesies herba penting di Malaysia, iaitu Labisia pumila (kacip fatimah).
Farah Fazwa menunjukkan sijil dan pingat anugerah. | Farah Fazwa menerima sijil daripada Yoshio (gambar kiri) dan pingat daripada Masa. |
Ketua Pengarah FRIM, Dato’ Dr Abd Latif Mohmod berkata beliau bangga dengan pencapaian tersebut yang juga merupakan satu pengiktirafan untuk FRIM.
Farah Fazwa yang telah menerbitkan lebih 150 kertas saintifik dalam pelbagai buku, jurnal dan prosiding juga merupakan penerimaAnugerah Pekerja Terbaik FRIM 2017. Beliau pernah memenangi beberapa anugerah antarabangsa, tempatan dan institusi seperti Pingat Emas ITEX 2017, Anugerah Inovasi Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar 2016 serta Anugerah Penyelidikan Terbaik FRIM pada 2014 dan juga 2016. Beliau telah mengetuai 10 projek penyelidikan dan pembangunan utama.
Anugerah tahunan tersebut diberikan oleh Kementerian Pertanian, Perhutanan dan Perikanan (MAFF) Jepun sejak tahun 2007 sebagai pengiktirafan kepada sumbangan dan pencapaian cemerlang penyelidik asing muda terhadap pembangunan teknologi demi peningkatan dalam bidang pertanian, perhutanan dan perikanan di negara-negara membangun.
Farah Fazwa membentangkan hasil penyelidikan beliau di majlis anugerah tersebut. | Gambar berkumpulan bersama tiga penerima anugerah (memegang sijil), penganjur anugerah dan dif-dif kehormat lain. |
Farah Fazwa menerima sijil anugerah daripada Yoshio Kobayashi,PengerusiMajlis Penyelidikan Pertanian, Perhutanan dan Perikanan (Agriculture, Forestry and Fisheries Research Council), MAFF; dan pingat daripada Dr Masa Iwanaga, Presiden Pusat Penyelidikan Pertanian Antarabangsa Jepun (JIRCAS).
Dua lagi penerima anugerah tahun ini ialah Dr Andry Andriamananjara dari Universiti Antananarivo, Madagascar dan Dr Jinyong Zhang dari Institut Hidrobiologi, Akademi Sains China. Farah Fazwa merupakan penyelidik FRIM ketiga yang menerima anugerah berprestij ini selepas Dr Kevin Ng Kit Siong (2009) dan Dr Tnah Lee Hong (2013).
Maklumat Terkini