2 November 2015 (Isnin) – Penyelidik Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), Dr Nor Azah Mohamad Ali telah dipilih salah seorang penerima Anugerah Saintis Penyelidikan Terbaik Malaysia (TRSM) Akademi Sains Malaysia (ASM) tahun ini.

Nor Azah menerima sijil anugerah TRSM daripada Madius di majlis tersebut.

Beliau bersama 13 saintis lain telah menerima sijil TRSM yang disampaikan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, YB Datuk Seri Panglima Madius Tangau di majlis pengumuman dan penyampaian sijil TRSM yang diadakan pada 31 Oktober di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) sempena Perhimpunan Agung ASM Ke-8.

Nor Azah merupakan penyelidik cemerlang yang pernah menerima Anugerah Saintis Terbaik FRIM pada 2009; ‘Scientific Achievement Award’ IUFRO (2010); dan Anugerah Penyelidikan Terbaik (2015).

Nor Azah menunjukkan sijil anugerah.

Beliau mempunyai pengalaman selama 28 tahun dalam penyelidikan sebatian kimia semulajadi terutamanya dalam bidang minyak pati yang berkaitan dengan perhutanan, pertanian dan industri herba.

Sebagai Ketua Program Pembangunan Produk Herba FRIM, beliau mengetuai kumpulan penyelidik FRIM yang terlibat secara aktif dalam penyelidikan minyak pati, herba dan pembangunan produk kosmeseutikal di FRIM. Skop penyelidikan termasuk teknologi ekstraksi minyak pati, penilaian deria hidu, pemprofilan kimia, bioaktiviti dan formulasi produk.

Nor Azah bersama suami, Mokhlif dan anak, Mohamad Mohaimin.

Nor Azah terlibat secara langsung dalam penyelidikan gaharu dengan memberi fokus kepada pembangunan teknik ekstraksi, finger printing, chemometrics dan kawalan kualiti. Hasil daripada usahanya dalam penyelidikan minyak pati, beliau telah membangunkan perpustakaan minyak pati dengan koleksi lebih daripada 160 spesies.

Nor Azah bergambar bersama Saw (tengah) dan wakil-wakil lain daripada FRIM.

Beliau telah mendapat pendidikan tinggi dari University of Waterloo (Kanada), Universiti Kebangsaan Malaysia dan Universiti Putra Malaysia. Beliau mula berkhidmat di FRIM sebagai Penolong Pegawai Penyelidik pada 1987. Beliau dinaikkan pangkat sebagai Pegawai Penyelidik pada 1996 dan Pegawai Penyelidik Kanan pada 2003.

Nor Azah merupakan saintis FRIM yang kedua dipilih untuk menerima anugerah TRSM ini. Yang pertama adalah Ketua Pengarah FRIM, Dato’ Dr Abd Latif Mahmood, pada 2013.

Turut hadir di majlis penyampaian anugerah ialah suaminya, Mokhlis Maizan dan anak, Mohamad Mohaimin; Pengarah Bahagian Biodiversiti, Dr Saw Leng Guan yang juga merupakan Felo ASM; serta beberapa penyelidik FRIM lain.