MAKLUMAT TERKINI

Saintis FRIM menerima Anugerah Saintis Penyelidikan Terbaik
By Published On: September 21, 2022

1

21 September 2022 (Rabu) – Pakar genetik hutan Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), Dr Lee Soon Leong telah menerima Anugerah Saintis Penyelidikan Terbaik Malaysia (TRSM) daripada Akademi Sains Malaysia (ASM) tahun ini.

Beliau menerima sijil TRSM daripada Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, YB Dato’ Sri Dr Adham Baba pada majlis pengiktirafanTRSM 2022 yang diadakan di Kuala Lumpur semalam, bersama 28 saintis lain.

Penyelidik yang cemerlang ini pernah menerima Anugerah Pingat Emas Tan Teck Guan Persatuan Pencinta Alam Malaysia pada 1999; Anugerah Saintis Terbaik FRIM (2018); serta Anugerah Penyelidikan Terbaik FRIM (2012 dan 2020).

Lee mempunyai pengalaman selama 25 tahun dalam penyelidikan, terutamanya dalam bidang genetik hutan, genetik pemuliharaan, genetik forensik, genomik dan pembiakan molekul.

Kepakaran beliau diiktiraf di peringkat global sejak beliau berkhidmat sebagai Penyelaras Pengecaman Kayu Pelbagai Bidang (Multidisciplinary Identification of Wood Coordinator) bagi International Union of Forest Research Organizations (IUFRO) sejak 2020. Beliau juga merupakan ahli jawatankuasa pemandu bagi Kumpulan Kerja Antarabangsa mengenai Pengecaman Spesies dan Asal Kayu pada 2012- 2020, serta Penyelaras Kebangsaan bagi Asia Pacific Forest Genetic Resources Programme (APFORGEN) sejak 2008.

Lee mendapat pendidikan tinggi di Universiti Kebangsaan Malaysia dan Universiti Malaya. Beliau telah berkhidmat di FRIM sebagai pegawai penyelidik pada 1995 dan dinaikkan pangkat sebagai pegawai penyelidik kanan pada 2001. Sekarang beliau memegang jawatan sebagai Ketua Makmal Genetik FRIM.

Beliau merupakan saintis FRIM ketiga menerima anugerah TRSM, selepas bekas Ketua Pengarah (KP) Datuk Dr Abd Latif Mohmod yang menerima anugerah ini pada 2013 dan Dr Nor Azah Mohamad Ali, 2015.

Turut hadir di majlis tersebut, Dr Norwati Muhammad, Timbalan KP (Penyelidikan) FRIM; isteri Lee, Dr Ling Sui Kiong; dan Nor Azah. Mereka juga berkesempatan bertemu dengan Tan Sri Dr Salleh Mohd Nor, mantan KP pertama FRIM yang juga merupakan Felo ASM.

Dari kiri: Professor Datuk Dr Asma Ismail, Presiden ASM; Adham; Lee dan Datuk Dr Aminuddin Hassim, Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi semasa majlis penyampaian sijil. Gambar berkumpulan para penerima TRSM bersama Adham (duduk, keempat dari kanan).
Dari kiri: Nor Azah, Ling, Lee, Salleh dan Norwati bergambar bersama sijil dan plak anugerah.

Maklumat Terkini