MAKLUMAT TERKINI
YBM KATS rasmi pembukaan Taman Warisan FRIM
7 November 2019 (Khamis) – Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, YB Dr Xavier Jayakumar telah menyempurnakan Majlis Perasmian Taman Warisan Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) di Kepong pada 5 November lalu.
Taman Warisan seluas 1.76 hektar ini dibangunkan mulai Januari 2017. Pelbagai spesies tumbuh-tumbuhan endemik yang hanya terdapat di negeri Selangor serta pokok-pokok yang sinonim dengan nama tempat di Selangor seperti pokok meranti kepong, sentul, kundang, sepang dan petaling ditanam di kawasan ini.
Xavier (kiri) dan Abd Latif menyampaikan ucapan masing-masing. | Dari kiri: Zurinah, Abd Latif, Xavier, Tengku Zulpuri Shah dan Mohd Mokhtar semasa upacara pelancaran buku. |
Dengan kemudahan seperti gazebo, pavilion, amphitheatre dan juga parcourse, taman ini akan menjadi tempat rekreasi alternatif kepada kampus utama FRIM selain mempertingkatkan kualiti persekitaran dan imej FRIM.
YB Menteri turut melancarkan Sijil Pendaftaran Anak Pokok yang dihasilkan melalui sistem inventori aset hidup tumbuhan FRIM yang mengandungi butiran seperti surat beranak anak pokok untuk rujukan pelanggan. Sistem tersebut membolehkan perolehan bahan tanaman yang sahih terutamanya melibatkan spesies-spesies yang dilindungi undang-undang untuk tujuan perladangan.
Abd Latif (ketiga dari kiri) menyampaikan sijil pendaftaran bagi anak pokok merbau yang baru ditanam kepada Xavier dengan diperhatikan oleh (dari kiri) Siti Salwana, Khali Aziz, Tengku Zulpuri Shah, Zurinah dan Mohd Mokhtar. | Gambar berkumpulan para hadirin majlis bersama Xavier (depan, tengah). |
YB Menteri turut melancarkan buku Taman Warisan FRIM yang mendokumenkan usaha FRIM membangunkan taman tersebut. Ketua Pengarah (KP) FRIM, Datuk Dr Abd Latif Mohmod, telah menyampaikan Sijil Pendaftaran Anak Pokok pertama kepada YB Menteri selepas upacara penanaman anak ‘pokok merbau’.
Turut hadir, YBM Tengku Zulpuri Shah Raja Puji, Timbalan Menteri KATS; Datuk Zurinah Pawanteh, Ketua Setiausaha KATS; Dr Mohd Mokhtar Tahar, Timbalan Ketua Setiausaha Tanah dan Sumber Asli KATS; Dr Khali Aziz Hamzah, Timbalan KP (Operasi) FRIM; Dr Siti Salwana Hashim, Ketua Cawangan Pengeluaran Bahan Tanaman; wakil-wakil Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia, Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia; warga FRIM serta sahabat komuniti FRIM.
Maklumat Terkini