MAKLUMAT TERKINI

KP FRIM terima Anugerah Tokoh Buku Penyelidikan
By Published On: November 27, 2015

27 November 2015 (Jumaat) – Ketua Pengarah (KP) Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), Dato’ Dr Abd Latif Mohmod telah menerima Anugerah Perdana bagi Kategori Tokoh Buku Penyelidikan 2015 daripada Yayasan Pembangunan Buku Negara (YPBN).

Abd Latif (kiri) menerima trofi dan sijil anugerah daripada TPM.

Anugerah ini telah disampaikan oleh YAB Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Perdana Menteri (TPM), merangkap Menteri Dalam Negeri dalam Majlis Anugerah Buku Negara yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) petang semalam.

Pemilihan Abd Latif sebagai penerima anugerah ini mengiktiraf sumbangan beliau mempelopori usaha menterjemah penerbitan saintifik FRIM kepada bentuk buku-buku Mesra Ilmu (Coffee-table books) yang lebih mudah difahami. Abd Latif yang dilantik sebagai KP FRIM pada 2008 telah menghasilkan lebih daripada 300 penulisan saintifik berkaitan bidang alam sekitar ketika berkhidmat sebagai pegawai penyelidik FRIM. Beliau dipilih sebagai Top Research Scientist Malaysia pada 2013 dan dilantik sebagai felo Akademi Sains Malaysia sejak 2014.

TPM melancarkan buku “Seni Tanaman Hiasan Dalaman”.

“Saya bersyukur kerana dipilih untuk menerima anugerah ini dan berharap, melalui pengiktirafan sebegini, lebih banyak lagi buku penyelidikan negara yang dapat diterjemahkan untuk manfaat masyarakat umum”, ujar beliau selepas menerima anugerah berupa piala dan sijil.

Di bawah bimbingan beliau, FRIM berjaya menghasilkan lebih 214 judul penerbitan rasmi bagi menyebarkan maklumat penyelidikannya termasuk 22 buku Mesra Ilmu. Empat daripada buku mesra ilmu ini telah meraih Anugerah Buku Negara Kategori Buku Teknikal Tebaik, Buku Umum Terbaik (Sains) dan Anugerah Perdana Kategori Penyelidikan pada 2010, 2012 dan 2013.

Gambar berkumpulan bersama TPM, pihak penganjur dan semua pemenang selepas majlis penyampaian anugerah.

Seramai 14 orang tokoh menerima Anugerah Perdana ini. Antaranya, Prof. Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim bagi Tokoh Sejarahwan dan Prof. Emeritus Dr Hashim Musa bagi Anugerah Perdana Za’ba Kategori Tokoh Linguistik.

Pada majlis yang sama, buku “Seni Tanaman Hiasan Dalaman” yang ditulis oleh Pegawai Penyelidik FRIM, Dr Sreetheran Maruthaveeran turut dilancarkan oleh Timbalan Perdana Menteri. Buku terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka ini mengandungi pelbagai maklumat dan panduan dalam memilih tanaman hiasan yang sesuai bagi sesuatu ruang dalaman, serta kaedah penjagaan dan penyelenggaraan.

Abd Latif bersama isteri, Halidah dan anak, Muhammad Ismail bergambar selepas majlis.

Turut hadir di majlis untuk meraikan anugerah tersebut ialah isteri KP FRIM, Datin Halidah Kasmin, anaknya, Muhammad Ismail dan Ketua Komunikasi Korporat FRIM, Norhayati Nordin.

Majlis Anugerah Buku Negara ini telah diadakan sempena Ekspo Buku Malaysia dan Persidangan Buku Antarabangsa 2015 yang dianjurkan oleh YPBN di PWTC dari 25 hingga 27 November.

Maklumat Terkini