KP FRIM terima Anugerah Tokoh Buku Penyelidikan

Written by CCU on . Posted in Hadiah & Penghargaan

27 November 2015 (Jumaat) – Ketua Pengarah (KP) Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), Dato’ Dr Abd Latif Mohmod telah menerima Anugerah Perdana bagi Kategori Tokoh Buku Penyelidikan 2015 daripada Yayasan Pembangunan Buku Negara (YPBN).

Anugerah ini telah disampaikan oleh YAB Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Perdana Menteri (TPM), merangkap Menteri Dalam Negeri dalam Majlis Anugerah Buku Negara yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) petang semalam.

Pemilihan Abd Latif sebagai penerima anugerah ini mengiktiraf sumbangan beliau mempelopori usaha menterjemah penerbitan saintifik FRIM kepada bentuk buku-buku Mesra Ilmu (Coffee-table books) yang lebih mudah difahami. Abd Latif yang dilantik sebagai KP FRIM pada 2008 telah menghasilkan lebih daripada 300 penulisan saintifik berkaitan bidang alam sekitar ketika berkhidmat sebagai pegawai penyelidik FRIM. Beliau dipilih sebagai Top Research Scientist Malaysia pada 2013 dan dilantik sebagai felo Akademi Sains Malaysia sejak 2014.

“Saya bersyukur kerana dipilih untuk menerima anugerah ini dan berharap, melalui pengiktirafan sebegini, lebih banyak lagi buku penyelidikan negara yang dapat diterjemahkan untuk manfaat masyarakat umum”, ujar beliau selepas menerima anugerah berupa piala dan sijil.

Di bawah bimbingan beliau, FRIM berjaya menghasilkan lebih 214 judul penerbitan rasmi bagi menyebarkan maklumat penyelidikannya termasuk 22 buku Mesra Ilmu. Empat daripada buku mesra ilmu ini telah meraih Anugerah Buku Negara Kategori Buku Teknikal Tebaik, Buku Umum Terbaik (Sains) dan Anugerah Perdana Kategori Penyelidikan pada 2010, 2012 dan 2013.

Seramai 14 orang tokoh menerima Anugerah Perdana ini. Antaranya, Prof. Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim bagi Tokoh Sejarahwan dan Prof. Emeritus Dr Hashim Musa bagi Anugerah Perdana Za’ba Kategori Tokoh Linguistik.

Pada majlis yang sama, buku “Seni Tanaman Hiasan Dalaman” yang ditulis oleh Pegawai Penyelidik FRIM, Dr Sreetheran Maruthaveeran turut dilancarkan oleh Timbalan Perdana Menteri. Buku terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka ini mengandungi pelbagai maklumat dan panduan dalam memilih tanaman hiasan yang sesuai bagi sesuatu ruang dalaman, serta kaedah penjagaan dan penyelenggaraan.

Turut hadir di majlis untuk meraikan anugerah tersebut ialah isteri KP FRIM, Datin Halidah Kasmin, anaknya, Muhammad Ismail dan Ketua Komunikasi Korporat FRIM, Norhayati Nordin.

Majlis Anugerah Buku Negara ini telah diadakan sempena Ekspo Buku Malaysia dan Persidangan Buku Antarabangsa 2015 yang dianjurkan oleh YPBN di PWTC dari 25 hingga 27 November.

5 (100%) 1 vote
Print Friendly, PDF & Email

.

Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM),
52109 Kepong, Selangor Darul Ehsan, Malaysia.
G : 3.2464539,101.643837
T : 603-62797000
F : 603 62731314
E : feedback@frim.gov.my

.

Jumlah pengunjung:

wordpress counter sejak 23 Jun 2014

Paparan Terbaik : Firefox 15+, Internet Explorer 10+, Chrome 3+
Resolusi : 1280 X 1024, Responsive

.

frim-iso frim-5s frim-ipv62 frim-1malaysia frim-mygov frim-msc frim-mampu frim-nre
Font Resize
Contrast