Susun atur silara : meranti belang

Written by CCU on . Posted in Warna-Warni FRIM

Fenomena “crown-shyness” atau “malu-malu silara” seperti yang di maklumi oleh warga FRIM dan pelawat umum, terbentuk dari kelompok dirian spesies kapur atau Dryobalanops aromatica dan mudah dilihat di Denai Salleh, FRIM. Populasi pokok-pokok kapur di kampus FRIM ini ditanam seawal tahun 1950’an.

Fenomena “malu-malu silara” yang sangat jelas dan cantik ini juga didapati terbentuk dari kelompok dirian spesies meranti belang atau Shorea resinosa dan boleh dilihat pada lebih kurang 150 m daripada pintu masuk ke Laluan Rover daripada Kem Perah FRIM. Faktor penanaman pokok yang menggunakan anak benih yang berusia hampir sama dan pada jarak penanaman yang piawai, telah menghasilkan satu fenomena alam yang sangat unik dan jarang-jarang ditemui di tempat lain. Di FRIM, Shorea resinosa atau meranti belang dilaporkan mula disemai semasa era kolonial di FRIM pada tahun 1929 dan sejumlah 156 anak pokok telah ditanam pada sekitar tahun 1930. Kebanyakan pokok ini kini telah berusia 83 tahun dengan ketinggian antara 35-40 m dan ukuran diameter di paras dada (dbh) 40-60 cm serta mempunyai kulit batang yang sedikit merekah dan bergelang. Purata bukaan setiap silara pula adalah di antara 10 m dan 15 m lebar.

Shorea resinosa adalah sejenis “pokok emergen” atau tinggi di mana taburannya pernah direkodkan di Sumatra Tengah, kawasan barat Sarawak dan di Semenanjung Malaysia daripada Perak dan Kelantan hingga ke Johor. Bahagian lapisan dalam batangnya dilaporkan berlapis-lapis dan mengandungi bahan damar atau resin. Spesies ini biasanya dijumpai di kawasan tanah pamah dan berbukit sehingga altitud 500 m. Meranti belang dikategorikan di bawah kumpulan meranti pa’ang atau meranti putih yang digunakan sebagai papan keping, papan lantai dan venir. Status pemuliharaannya adalah sangat terancam disebabkan kehilangan habitat.

Fenomena “malu-malu silara” terhasil apabila setiap pokok individu membentuk silara masing-masing di mana saiz dan bentuk setiap silara ini di susun atur dalam zon tersendiri dan tidak akan bercantum. Hujung pucuk daun pokok yang dilaporkan sensitif kepada pertumbuhan pucuk pokok bersebelahannya, mengelak daripada bersentuhan atau bertindan di antara satu sama lain. Ruang-ruang jelas antara satu silara dengan silara yang lain dapat dilihat bila berdiri di bawah pokok. Keunikan ini juga dapat dilihat dari udara oleh imej satelit yang kelihatan seolah-olah susunan kobis bunga.

Disediakan oleh Norsiha A. and Shamsudin I. Disiarkan pada 21 March 2013. Cuaca mingguan 31° ke 33°C dan mendung.

4 (80%) 1 vote

Trackback from your site.

.

Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM),
52109 Kepong, Selangor Darul Ehsan, Malaysia.
G : 3.2464539,101.643837
T : 603-62797000
F : 603 62731314
E : feedback@frim.gov.my

.

Jumlah pengunjung:

wordpress counter sejak 23 Jun 2014

Paparan Terbaik : Firefox 15+, Internet Explorer 10+, Chrome 3+
Resolusi : 1280 X 1024, Responsive

.

frim-iso frim-5s frim-ipv62 frim-1malaysia frim-mygov frim-msc frim-mampu frim-nre
Font Resize
Contrast