KP FRIM terima Anugerah Pingat Emas Penyelidikan

Written by CCU on . Posted in Hadiah & Penghargaan, Berita & Acara

Sultan Selangor menyampaikan Anugerah Pingat Emas kepada Abd Latif

Sultan Selangor menyampaikan Anugerah Pingat Emas kepada Abd Latif (kanan) dengan diperhatikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Anugerah Penyelidikan Rotary, Datuk Dr J.S. Sambhi dan Presiden Kelab Rotary, Andy Khoo.

16 April 2012 (Isnin) – Yayasan Penyelidikan Rotary, Kelab Rotary DiRaja Kuala Lumpur telah memilih Dato’ Dr Abd Latif Mohmod, Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) sebagai salah seorang penerima Anugerah Pingat Emas Penyelidikan Rotary bagi menghargai sumbangan cemerlang beliau dalam bidang ‘Sains Perhutanan’.

Anugerah ini telah disampaikan oleh Penaung DiRaja Kelab Rotary DiRaja Kuala Lumpur, DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj di Majlis Penganugerahan Yayasan Amal Rotary yang berlangsung pada 13 April di Hotel Istana, Kuala Lumpur.

Yayasan Penyelidikan Rotary Kelab Rotary DiRaja Kuala Lumpur ditubuhkan pada 1982 untuk mempromosi serta mengiktiraf usaha-usaha penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang berfaedah di Malaysia, khususnya dalam lapangan Kesenian, Kebudayaan, Sains, Perubatan, Kejuruteraan, Pertanian, Teknologi dan Sains Sosial yang dijalankan dalam tempoh masa 15 tahun yang lalu.

Pencapaian Abd Latif adalah bukti kepakaran dan visi ke arah kecemerlangan sektor perhutanan di Malaysia. Abd Latif yang dilahirkan pada tahun 1960 memulakan kerjayanya sebagai seorang Pegawai Penyelidik di FRIM pada 28 Mac 1985. Beliau dilantik sebagai Timbalan KP (Operasi) pada tahun 2005 sebelum mengambil alih pucuk pimpinan sebagai KP pada bulan April, 2008.

Pingat Emas Penyelidikan Rotary.

Pingat Emas Penyelidikan Rotary.

Bakat, kreativiti serta dedikasi beliau sepanjang berkhidmat selama 26 tahun di FRIM telah menyumbang ke arah pencapaian cemerlang penyelidikan, pembangunan dan pengkomersialan (R,D &C) sektor perhutanan di Malaysia.

Antara hasil R&D beliau adalah penghasilan 50 mesin pemprosesan hasil hutan bukan kayu seperti rotan, buluh dan palma; mengendalikan 59 kursus kemahiran dan teknikal bagi 1500 usahawan; serta merintis penubuhan 47 perusahaan kecil dan sederhana (SME) bagi rotan dan buluh. Hasil pencapaian R&D beliau juga telah diterbitkan dalam lebih daripada 300 penerbitan yang berbeza antaranya dalam jurnal, laporan persidangan, buku panduan, garis panduan dan manual.

Sumbangan ini telah melayakkan beliau untuk menerima anugerah dan pengiktirafan berprestij diperingkat kebangsaan dan antarabangsa. Ini termasuk Anugerah Saintis Muda Negara 1993; Anugerah Pencapaian Sains IUFRO,1995; Anugerah Perekacipta Negara (1997), dan The Outstanding Young Malaysian Award pada 1999. Abd Latif juga menjadi saintis bidang perhutanan yang pertama di Malaysia dan Asia terpilih menjadi Felo Eisenhower sejak anugerah ini diperkenalkan pada 1945; serta diberi penghormatan sebagai ‘The Best Manager of The Year 2011’ oleh jawatankuasa penganugerahan Europe Business Assembly bagi Penyelidikan Gunaan dan Pencapaian Saintifik.

Pegawai-pegawai FRIM selepas majlis penyampaian anugerah

Abd Latif (ke-empat dari kiri) bergambar dengan pegawai-pegawai FRIM selepas majlis penyampaian anugerah.

Abd Latif adalah antara 11 penerima pingat emas yang tersenarai serta satu-satunya penerima Anugerah Pingat Emas Penyelidikan Rotary dalam bidang ‘Sains Perhutanan’ bagi 2012. Penerima-penerima lain termasuk Prof. Emeritus Dato’ Dr CP Ramachandran, Dato’ Khoo Kah Lin, Prof. Dato’ Ir Dr Chuah Hean Teik, Prof Dr Fun Hoong Kun, Prof Abdul Latif Ahmad, Prof Dr Ng Soon, Prof Ir Dr Mohd Sapuan Bin Salit, Dr C. Devendra dan Dr Tee E Siong.

5 (100%) 1 vote

Tags:

Trackback from your site.

.

Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM),
52109 Kepong, Selangor Darul Ehsan, Malaysia.
G : 3.2464539,101.643837
T : 603-62797000
F : 603 62731314
E : feedback@frim.gov.my

.

Jumlah pengunjung:

wordpress counter sejak 23 Jun 2014

Paparan Terbaik : Firefox 15+, Internet Explorer 10+, Chrome 3+
Resolusi : 1280 X 1024, Responsive

.

frim-iso frim-5s frim-ipv62 frim-1malaysia frim-mygov frim-msc frim-mampu frim-nre
Font Resize
Contrast