Saintis FRIM terima anugerah ASM

Written by FRIM Webmaster on . Posted in Hadiah & Penghargaan, Berita & Acara

18 Disember 2013 (Rabu) – Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), Dato’ Dr Abd Latif Mohmod, telah menerima Anugerah Saintis PenyelidikanTerbaik Malaysia (TRSM) daripada Akademi Sains Malaysia (ASM)  baru-baru ini, sementara Dr Saw Leng Guan, Pengarah Biodiversiti Hutan FRIM, pula telah dilantik sebagai felo ASM.

Mereka telah menerima pengiktirafan masing-masing di Majlis Penganugerahan Felo 2013 kepada ahli-ahli sains yang terpilih dan Pengumuman Anugerah Saintis Penyelidikan Terbaik Malaysia 2013 yang dirasmikan oleh Perdana Menteri Dato’ Sri Najib Tun Razak pada 17 Disember 2013 di Kuala Lumpur.

Abd Latif yang diiringi oleh isterinya Datin Halidah Kasmin ke majlis tersebut, telah menerima plak dan sijil pengiktirafan TRSM yang disampaikan oleh Presiden ASM, Tan Sri Dr Ahmad Tajuddin Ali.

Di majlis yang sama, Perdana Menteri telah menyampaikan sijil pengiktirafan felo kepada Dr Saw dan 18 ahli sains lain. Saw dilantik bagi kategori “Taksonomi Tumbuhan dan Ekologi” di bawah bidang Pertanian Biologi dan Sains Alam Sekitar.

Beliau telah banyak menyumbang kepada usaha dokumentasi dan pemuliharaan tumbuh-tumbuhan Malaysia. Saw terlibat secara aktif dalam tiga projek flora moden yang dilaksanakan di FRIM, iaitu Tree Flora of Malaya; Tree Flora of Sabah and Sarawak; dan Flora of Peninsular Malaysia.

Beliau merupakan pakar dalam penyelidikan palma dan telah menjalankan kajian ekologi dan taksonomi pelbagai spesies palma di Malaysia. Saw telah menamakan 57 taksa baru (iaitu spesies dan jenis tumbuhan) dan sebagai pengiktirafan sumbangannya, tiga spesies telah dinamakan sempena nama beliau.

Sebelum ini, beliau pernah menerima dua anugerah kebangsaan/antarabangsa iaitu Skim Biasiswa Chevening Suruhanjaya Tinggi British dan Anugerah Buku Negara 2012 bagi penerbitan “Wild Orchids of Peninsular Malaysia”. Beliau juga menerima pengiktirafan Anugerah Penyelidik Terbaik FRIM pada 2009.

Saw adalah saintis FRIM ke-empat yang menerima pengiktirafan sebagai felo daripada akademi yang berprestij ini, mengikuti jejak langkah bekas KP FRIM pertama, Tan Sri Dr Salleh Mohd Nor; bekas KP FRIM kedua, Datuk Dr Abd Razak Mohd Ali; dan bekas Timbalan KP FRIM, Dr Francis Ng.

Abd Latif pula adalah saintis  FRIM pertama yang menerima Anugerah TRSM sebagai pengiktirafan atas sumbangan dan usaha beliau yang konsisten dalam menggerakkan penyelidikan perhutanan.

Projek TRSM yang dilancarkan pada 2012 merupakan sebahagian daripada usaha ASM untuk memupuk budaya kecemerlangan dalam bidang sains, teknologi dan inovasi (STI). Ia bertujuan memberi pengiktirafan dan mempamerkan pencapaian saintis penyelidikan Malaysia yang telah memberi sumbangan ketara kepada pertumbuhan ekonomi negara melalui penjanaan dan penyebaran ilmu; penciptaan kekayaan dan usaha produktif ke arah pencapaian  kecemerlangan sains untuk kebaikan manusia; dan menjadi “role model” dalam menjana kecemerlangan, mentor kepada generasi akan datang serta pemimpin untuk mara ke hadapan dengan agenda STI negara.

Abd Latif yang mengambil alih pucuk pimpinan FRIM sejak Mei 2008 merupakan saintis perhutanan pertama dan yang satu-satunya diberi pengiktirafan Anugerah Saintis Muda Negara (1993), Outstanding Young Malaysian Award (1999) dan Eisenhower Fellowship dari Amerika Syarikat (1999). Beliau juga merupakan penerima termuda IUFRO Scientific Achievement Award ketika berumur 34 tahun pada 1995. Selain itu, beliau juga menerima Anugerah National Inventor Award (1997); Rotary Research Gold Medal Award (2012); dan  Anugerah Pencapaian Sains dan Teknologi (S&T) dari Malaysia Scientific Association (MSA) pada 2012 sebagai menghargai sumbangan cemerlang beliau dalam pembangunan bidang S&T di Malaysia.

Di bawah panduan dan bimbingan beliau, FRIM terus berkembang sebagai pusat rujukan berwibawa terutama dalam bidang penyelidikan hutan tropika dan keluaran hutan. Pada tahun 2012 sahaja, FRIM telah memenangi tujuh anugerah antarabangsa, sembilan anugerah kebangsaan berprestij dan 12 Malaysia Book of Records.  Pada tahun ini, FRIM berjaya meraih Anugerah Inovasi Kebangsaan bagi sistem rawatan kayu menggunakan pengeringan suhu tinggi (HTD) dan juga menerima Anugerah Buku Negara bagi tahun ketiga berturut-turut.

5 (100%) 1 vote

Tags:

.

Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM),
52109 Kepong, Selangor Darul Ehsan, Malaysia.
G : 3.2464539,101.643837
T : 603-62797000
F : 603 62731314
E : feedback@frim.gov.my

.

Jumlah pengunjung:

wordpress counter sejak 23 Jun 2014

Paparan Terbaik : Firefox 15+, Internet Explorer 10+, Chrome 3+
Resolusi : 1280 X 1024, Responsive

.

frim-iso frim-5s frim-ipv62 frim-1malaysia frim-mygov frim-msc frim-mampu frim-nre
Font Resize
Contrast