FRIM menang Anugerah Harta Intelek

Written by FRIM Webmaster on . Posted in Hadiah & Penghargaan, Berita & Acara


2 Oktober 2014 (Khamis) – Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) berjaya meraih tempat pertama Anugerah Harta Intelek Negara 2014 (AHIN 2014) untuk Kategori Paten bagi ciptaan sistem pengeringan kayu suhu tinggi (High Temperature Drying atau HTD) yang mesra alam.

Ketua Pengarah (KP) FRIM, Dato’ Dr Abd Latif Mohmod, mengetuai perwakilan FRIM termasuk pegawai-pegawai yang terlibat seperti Choo Kheng Teng dan Dr Woon Weng Chuen, yang hadir di majlis penyampaian anugerah di Kuala Lumpur hari ini untuk menerima hadiah berupa trofi, medal WIPO, sijil penghargaan dan wang tunai RM10,000.

Majlis AHIN, anjuran bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) sempena Hari Harta Intelek Negara semenjak tahun 2006, ini disempurnakan oleh Menteri Datuk Seri Hasan Malek.

Sistem HTD merupakan salah satu daripada 13 inovasi yang disenarai pendek daripada 90 penyertaan bagi kategori ini. Tempat kedua dan ketiga telah dimenangi oleh Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) dan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).

Penyelidik utama yang membangunkan sistem ini, Dr Sik Huei Shing dan Choo, telah membuat pembentangan di Ibu Pejabat MyIPO pada 3 April 2014 untuk penilaian akhir bagi menentukan pemenang utama kategori tersebut. Dr Abd Latif turut hadir semasa sesi pembentangan untuk memberi input beliau bersama Andre Accad, Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Advanced Low Pressure System (ALPS) Sdn. Bhd. yang merupakan rakan kerjasama FRIM dalam mengkomersialkan sistem HTD.

Teknologi HTD (rawatan kayu getah menggunakan pengeringan suhu tinggi) ini dapat menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh industri kayu-kayan tempatan berkaitan halangan serta syarat-syarat perdagangan semakin ketat yang ditetapkan oleh negara-negara maju dalam memastikan penggunaan produk-produk lebih mesra alam.

Sistem ini bukan sahaja berjaya menghapuskan penggunaan bahan pengawet, malah juga dapat memendekkan masa kitaran pemprosesan sebanyak lebih 75%. Di samping itu, kualiti kayu getah dirawat menggunakan HTD didapati baik secara umumnya serta terbukti mempunyai kestabilan dimensi lebih tinggi berbanding kayu yang dirawat dengan kaedah konvensional.

FRIM telah memperolehi paten untuk sistem HTD ini dari Amerika Syarikat pada Mac 2013 serta; dari Malaysia pada Oktober 2013; dan dari Singapura pada Ogos 2014. FRIM juga telah memfailkan paten di enam buah negara lain iaitu Thailand, Vietnam, Indonesia, China dan India.

Teknologi HTD ini telah memenangi pelbagai anugerah termasuk:

  • Anugerah Inovasi Negara 2013 (Kategori Produk) – Malaysia;
  • Green Invention Order of Merit Award 2013 – World Inventor Award Festival – Korea;
  • Forestry Order of Merit Award 2013 – World Inventor Award Festival – Korea.

Baru-baru ini juga, Dr Sik juga telah diumumkan sebagai salah seorang pemenang Anugerah Penyelidikan Kedoktoran Cemerlang IUFRO (Kesatuan Pertubuhan Penyelidikan Hutan Antarabangsa) bagi ijazah kedoktorannya mengenai pembangunan teknologi HTD. Majlis penyampaian anugerah ini akan diadakan pada 10 Oktober 2014 sempena Kongres Sedunia IUFRO ke-24 di Salt Lake City, Amerika Syarikat.

.

Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM),
52109 Kepong, Selangor Darul Ehsan, Malaysia.
G : 3.2464539,101.643837
T : 603-62797000
F : 603 62731314
E : feedback@frim.gov.my

.

Jumlah pengunjung:

wordpress counter sejak 23 Jun 2014

Paparan Terbaik : Firefox 15+, Internet Explorer 10+, Chrome 3+
Resolusi : 1280 X 1024, Responsive

.

frim-iso frim-5s frim-ipv62 frim-1malaysia frim-mygov frim-msc frim-mampu frim-nre
Accessibility
Close