Penubuhan Galeri Penyelidikan FRIM mengubah imej Muzium FRIM kepada sebuah pusat pengumpulan setempat pelbagai hasil aktiviti para penyelidik FRIM dalam bentuk poster, majalah, risalah, bahan, produk, sampel, spesimen, model dan prototaip penyelidikan yang dipamerkan. Gaya penyampaian dan persembahan Galeri Penyelidikan FRIM adalah mengikut trend masa kini. Pelbagai elemen berunsurkan ciri-ciri perhutanan diwujudkan sebagai motif sampingan bersesuaian dengan imej FRIM sebagai sebuah institusi yang terlibat dalam bidang penyelidikan perhutanan.

Galeri Penyelidikan FRIM telah dirasmikan oleh YB Dato Douglas Uggah Embas, Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar (NRE) pada Mac 2010. Galeri Penyelidikan FRIM berperanan sebagai perantara dalam mendekatkan diri, mempelajari dan menghayati perkembangan penyelidikan bukan sahaja kepada masyarakat tetapi juga para penyelidik FRIM yang berwawasan dan mampu berdaya saing di peringkat global. Kewujudan Galeri Penyelidikan FRIM dapat dimanfaatkan oleh generasi masa kini dan akan datang sebagai pusat rujukan yang amat berharga dan warisan yang tidak ternilai melalui maklumat sejarah, latar belakang dan seni bina rumah-rumah tradisional tersebut yang turut dipaparkan di laman web FRIM, poster, majalah, risalah dan sebagainya.

Waktu Operasi

Hari Waktu Operasi
Isnin – Khamis 9:00 a.m. – 12:00 p.m.
2:00 p.m. – 4:00 p.m.
Jumaat 9:00 a.m. – 12:00 p.m.
3:00 p.m. – 4:00 p.m.
Sabtu – Ahad 9:00 a.m. – 12:00 p.m.
2:00 p.m. – 4:00 p.m.

Tujuan penubuhan Galeri Penyelidikan FRIM adalah seperti berikut:

  1. Mengukuhkan FRIM sebagai sebuah pusat kecemerlangan dan rujukan kepada umum. Galeri Penyelidikan FRIM menggambarkan tanda kejayaan FRIM khususnya dalam bidang penyelidikan perhutanan tropika. Penubuhannya ialah hasil usaha sama daripada pegawai penyelidik dari semua Bahagian di FRIM dan secara tidak langsung galeri tersebut berperanan sebagai pusat atau sudut kualiti FRIM.
  2. Pelbagai hasil kejayaan kepakaran dalam penyelidikan bidang perhutanan seperti bioteknologi, teknologi maklumat (IT), biodiversiti, pengurusan ekologi hutan, pembangunan produk dan sebagainya dikumpul dan dipamerkan seperti koleksi produk, sampel, spesimen, model dan prototaip penyelidikan termasuk penyediaan poster dan risalah penyelidikan. Pengisian Galeri Penyelidikan FRIM adalah yang terkini dan akan dikemas kini setiap dua atau tiga tahun sekali.
  3. Galeri Penyelidikan FRIM secara tidak langsung memastikan akan keselamatan di makmal-makmal/bengkel-bengkel penyelidikan FRIM di sini kerana pelawat rasmi tidak lagi perlu ke tempat tersebut tetapi tertumpu kepada Galeri Penyelidikan FRIM.
  4. Galeri Penyelidikan FRIM boleh menjana pendapatan bagi institusi bertujuan memperkembangkan usaha R&D di FRIM selain membantu membangunkan imej FRIM sebagai pusat penyelidikan perhutanan dan menyokong aktiviti ekopelancongan FRIM secara tidak langsung.

Galeri Penyelidikan FRIM mempunyai reka bentuk yang unik dengan berkonsepkan moden dan kontemporari merangkumi enam komponen utama iaitu:

  1. Koleksi produk, sampel, spesimen, model dan prototaip penyelidikan dari semua bahagian dan program di FRIM.
  2. Koleksi bahan penerbitan dan percetakan.
  3. Persembahan multimedia/audio visual mengenai sejarah dan latar belakang FRIM
  4. Kaunter perkhidmatan pelanggan
  5. Koleksi ‘artificial’.

Komponen pertama:

Pengumpulan pelbagai koleksi bahan, produk, sampel, spesimen, model dan prototaip penyelidikan serta pembangunan beberapa unit diorama hutan tropika. Anugerah dan pencapaian para penyelidik FRIM sama ada di dalam mahupun di luar negara seperti piala, sijil dan sebagainya dari semua Bahagian dan Program FRIM turut dipamerkan.

Komponen kedua:

Pengumpulan pelbagai rujukan buku penyelidikan FRIM, risalah termasuk maklumat korporat FRIM, poster penyelidikan yang memberikan maklumat terperinci tentang bahan, produk, sampel, spesimen, model dan prototaip penyelidikan.

Komponen ketiga:

Persembahan interaktif untuk memberi kefahaman secara lebih jelas dan berkesan kepada pengunjung yang inginkan maklumat lebih terperinci. Gaya persembahan dan penyampaian yang teratur dan jitu menggunakan peralatan multimedia/audio visual. Maklumat mengenai sejarah dan latar belakang FRIM juga dipaparkan.

Komponen keempat:

Penempatan sebuah kaunter perkhidmatan pelanggan dilengkapi perabot dan peralatan yang bersesuaian khususnya untuk pelawat rasmi yang berkunjung ke Galeri Penyelidikan FRIM. Kaunter perkhidmatan pelanggan diwujudkan untuk memberi maklumat asas atau separa terperinci kepada pelawat sekiranya bantuan atau perkhidmatan tersebut diperlukan.

Komponen kelima:

Sokongan kepada struktur dan hiasan dalaman Galeri Penyelidikan FRIM untuk menonjolkan suasana keselesaan dengan motif sampingan yang bersesuaian dengan imej FRIM sebagai pusat penyelidikan perhutanan termasuk kesan khas yang mengandungi bunyi-bunyian yang bersesuaian.

 

  

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi:

Pusat Informasi Pelawat (PIP) 
Tel : 03-6279 7592 / 03-6279 7649
Fax : 03-6280 4619 
E-mel : frim_enquiry[at]frim.gov.my