Taman Etnobotani FRIM telah mula ditubuhkan pada tahun 1995 dengan keluasan menghampiri 1.4 ha. selepas peluasan kawasan pada tahun 2009 dan 2017. Ia terletak lebih kurang 400 m dari pintu masuk utama FRIM. Taman Etnobotani bertindak sebagai pusat pemuliharaan ex-situ serta pusat germplasma bagi tumbuhan ubatan dan beraroma (MAPS) yang digunakan oleh pelbagai etnik di Semenanjung Malaysia. Ia turut berfungsi untuk memupuk minat masyarakat umum terhadap MAPS. Sehingga kini, terdapat lebih kurang 400 spesies MAPS daripada 100 famili yang dipulihara di Taman Etnobotani. Beberapa famili besar adalah Zingiberaceae (famili tepus), Rubiaceae (famili kopi), Fabaceae (famili kekacang), Euphorbiaceae (famili getah), Malvaceae (famili bunga raya) dan Rutaceae (famili limau). Beberapa pokok popular yang digunakan oleh industri seperti ramunggai (Moringa oleifera), hempedu bumi (Andrographis paniculata) dan mahkota dewa (Phaleria macrocarpa) boleh dijumpai di sini.

Masa Lawatan

Isnin-Khamis: 8.30 a.m.-12.30 p.m./2.30 p.m.-4.30 p.m.

Jumaat: 8.30 a.m. – 12.00 p.m. / 3.00 p.m. – 4.30 p.m.

Hujung Minggu & Cuti Umum: Tutup